nuffnang-ads

Wednesday, April 22, 2015

ar-rahman ayat 1

Ayat 1:

الرَّحْمَٰنُ
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.

Ayat ini ada satu perkataan sahaja. Begitu hebat sekali. Allah buat begini kerana hendak kita memikirkan dan tadabbur pada makna ayat ini. Banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil. Setiap ketika dan masa ada sahaja rahmah yang Allah berikan kepada kita. Apabila kita membaca satu ayat ini, bayangkan apakah rahmah yang Allah sedang beri kepada kita sekarang, hari ini, semalam, minggu ini, minggu lepas dan sebagainya. Tidak terkira banyaknya. Ada yang kita perasan dan ada yang kita tidak perasan pun. Tidak akan habis kalau kita nak kira.
Dialah Tuhan yang bersifat Rahman. Dalam Quran, ada dua nama yang selalu digunakan, samada Allah atau ar-Rahman.
Selalunya, ada dua nama yang digunakan: ar-Rahman dan ar-Rahim. Tapi dalam ayat ini, hanya ada ar-Rahman. Rahman bermaksud sangat-sangat pemurah. Ia juga bermaksud present tense, bermaksud Allah sedang melakukan pekerjaan ‘pemurah’ itu. Kerana kalau kita seseorang itu seorang yang suka memberi sedekah, tidak semestinya dia sedang memberi sedekah waktu itu. Tapi ar-Rahman bermaksud, Allah sedang bersifat Rahmah semasa kita menyebut namaNya itu.
Allah menyebut salah satu sifatNya dalam ayat ini. Asal perkataan ar-rahman itu dari perkataan ‘rahmah’. Kalau kita lihat, tempat kita semasa dalam perut ibu kita pun dipanggil rahim. Ada banyak makna rahmah itu. Antaranya: sayang, kasihan, cinta, kelembutan, kemaafan. Ia juga mengandungi makna keselamatan. Ianya mempunyai makna seseorang itu diberikan segalanya itu tanpa dia melakukan apa-apa. Tanpa ada usaha apa-apa, tapi diberikan kepada mereka. Kalau kita buat kerja, memang kita layak dapat upah. Tapi itu apabila kita ada buat kerja. Dalam hal rahmah ini, tanpa buat apa-apa pun, Allah berikan kepada kita. Bayangkan semasa kita lemah dalam perut ibu kita, Allah berikan keselamatan kepada kita dalam rahim ibu kita. Dan kemudian kita dilahirkan, dalam keadaan amat lemah. Tapi Allah berikan segala keperluan yang kita perlukan untuk meneruskan hidup. Apakah yang kita telah buat untuk melayakkan kita dapat segala perhatian dari Allah itu? – Tidak apa-apa. Tidak ada amalan ibadah apa lagi pun yang kita lakukan. Kita pun memang tak boleh buat apa-apa kerana masih bayi lagi. Tapi lihatlah berapa banyak rahmat yang Allah berikan kepada kita.
Sifat rahmah bermaksud ‘penjagaan’. Selalunya ditafsirkan sebagai mercy/kasihan. Mungkin tidak berapa sesuai kalau itu sahaja makna yang kita faham. Kerana kalau kita hanya mengambil maksud ‘kasihan’, itu hanya bermaksud Allah tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang itu. Macam tentera tawan tawanan perang dan kerana ‘kasihan’, dia tidak membunuh orang itu. Jadi, kalau itu sahaja maksud ‘rahmah’, itu baru bermaksud ‘tidak ada perkara buruk’ sahaja. Itu adalah satu tafsir yang terhad, tidak seperti yang sepatutnya. Tapi maksud الرَّحْمَٰنُ lebih lagi dari itu. Nama sifat ini merujuk kepada sifat yang menjaga segala keperluan makhluk. Kita semua memerlukan rahmat Allah untuk hidup dalam dunia ini. Dari dalam perut, sampai kita mati. Macam bayi dalam perut memerlukan rahmah dari Allah. Allah beri penjagaan kepada bayi itu kerana bayi itu tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Nak minta tolong pun tak boleh. Maka, tanpa minta tolong pun Allah telah berikan segala kemudahan kepada bayi itu. Itulah setakat yang kita mampu jelaskan tentang maksud rahmah itu. Kita tentu tidak akan dapat memahami keseluruhan maksud nama الرَّحْمَٰنُ ini kerana kecetekan ilmu kita dan kerana kekurangan akal kita sebagai seorang manusia.
Itulah pemberian Allah dalam bahagian pertama surah ini – Allah beri kita Quran, kebolehan bercakap, alam yang begini luas dan sebagainya lagi – semua itu tanpa ada apa-apa usaha amal dari kita.
Selain dari diberikan pemberian tanpa apa-apa usaha, ada juga pemberian yang diberikan kepada makhluk atas usaha amal mereka. Ini disebut dalam bahagian kedua surah ini – Allah berikan syurga, segala apa yang ada di dalamnya, dengan bidadari dan sebagainya – ini adalah jenis pemberian yang Allah berikan atas usaha baik yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Mereka layak mendapat segala pemberian itu. Jadi, ada dua jenis pemberian yang Allah berikan kepada kita – yang diberikan walaupun kita tidak ada apa-apa usaha dan satu lagi yang diberikan kepada kita atas amal kebaikan kita semasa di dunia.

Allah memulakan surah ini dengan memperkenalkan sifatNya ar-Rahman, kerana dalam surah ini akan disebut berkali-kali pemberian yang diberikan kepada makhluk. Kemudian Allah akan tanya balik – manakah nikmat Allah yang kamu tidak mengaku.

No comments: